top of page

1. MUHAMMAD IKHSAN SYAH BIN MOHD SHAH (IIO170013)

  • Writer: Unit Media
    Unit Media
  • May 23, 2018
  • 4 min read

Fasa Perancangan

Program Jalinan Masyarakat merupakan suatu program yang memerlukan setiap ahli atau individu mahasiswa di Universiti Malaya khususnya untuk keluar dan berbakti kepada masyarakat. Hal ini bagi memastikan mahasiswa masakini peka serta cakna dengan situasi reality masyarakat dan tidak hanya tertumpu pembelajaran didalam dewan kuliah sahaja.


Pada fasa awal atau fasa perancangan merupakan fasa yang penting. Walaupun ianya dikenali sebagai fasa perancangan, tetapi pada pandangan saya sendiri jelas menunjukkan bahawa ianya bukanlah suatu fasa yang mudah. Dalam fasa ini, semua ahli jalinan masyarakat sering berkumpul dan mengadakan mesyuarat. Tujuan kami berkumpul tidak lain dan tidak bukan ialah untuk sama-sama merealisasikan atau menjayakan program jalinan masyarakat (GIG1005). Saya secara peribadi amat memuji setiap ahli jalinan masyarakat dalam kumpulan kami. Walaupun masing-masing sibuk dengan tugasan lain, tetapi mereka tetap mencari jalan penyelesaian dan turut memberi sepenuh komitmen terhadap program jalinan masyarakat ini.


Fasa perancangan ini juga merupakan fasa dimana kami sama-sama mengeluarkan cadangan, berbincang dan mencari kata putus untuk program jalinan masyarakat. Antara perkara yang menjadi agenda penting dalam mesyuarat ialah tempat dan tarikh perlaksanaan program. Terdapat beberapa kesulitan yang kami hadapi ketika ingin menetapkan dua perkara utama ini. Antara yang menjadi punca kesulitan ialah untuk mencari tarikh yang sesuai. 33 orang yang mempunyai latar belakang dan urusan yang tersendiri. Hal ini bukanlah suatu yang mudah tetapi atas komitmen dan kerjasama yang diberikan, akhirnya kami berjaya menemukan kata putus. Begitu juga dengan tempat. Ianya tidaklah semudah yang disangka khususnya dalam perkara yang melibatkan pihak lain namun kami tetap berusaha untuk mencari tempat perlaksanaan projek dan Alhamdulillah akhirnya kami berjaya mendapat kata sepakat daripada pihak Pusat Jagaan Anak Yatim/Miskin Ruqaiyah yang bertempat di Kajang.

Akhir kata, fasa perancangan ini memberikan banyak manfaat dan pengalaman khususnya perkara berkaitan gerak kerja perlaksanaan sesuatu program seperti pembentukan organisasi, kaedah perlaksanaan tugasan, kepentingan nilai kerjasama ketika melaksanakan tugasan dan banyak lagi.


Fasa Semasa

Fasa semasa merupakan fasa kemuncak dimana kini tiba lah masanya perlaksanaan setiap apa yang telah dirangka atau dibuat ketika dalam fasa perancangan. Ianya juga merupakan hari yang paling dinanti nantikan oleh setiap ahli jalinan masyarakat kumpulan ini. Hal ini kerana pada fasa inilah kami akan keluar daripada UM dan berbakti kepada masyarakat.


Pada tarikh 14 April 2018, kami telah bertolak ke Pusat Jagaan Anak Yatim seawall jam 8 pagi. Alhamdulillah kami sampai di pusat tersebut sepertimana yang telah dirancang. Hari pertama berjalan dengan lancar. Hal ini kerana kerjasama yang padu dan jitu daripada pihak mahasiswa dan mahasiswi dari Uniersiti Malaya serta tidak kurang hebatnya kerjasama dan komitmen yang turut diberikan oleh adik-adik yang menginap di pusat jagaan tersebut.


Saya berasa amat bersyukur kerana diberi peluang untuk melaksanakan tugasan bersama rakan rakan mahasiswa dan mahasiswi dari UM yang begitu bertanggungjawab dalam melaksanakan setiap tugasan. Difasa ini juga saya dapat merasakan kemanisan kerjasama sesama ahli. Setiap ahli dalam kumpulan telah memainkan peranan masing-masing serta melaksanakan tugasan yang telah diberikan dengan baik sekali. Kerjasama yang mereka tunjukkan tidak terhenti setakat itu sahaja. Ada satu ketika dimana mereka melakukan suatu tugasan diluar ruang lingkup kerja mereka. Contohnya apabila unit lain turut bersama-sama membantu unit makanan menyediakan makan tengah hari. Begitu juga apabila tindak balas yang pantas oleh ahli jalinan masyarakat yang cekap membantu ambil alih suatu tugasan rakan-rakan mereka ketika bantuan diperlukan.


Saya merasakan bahawa program jalinan masyarakat ini mendatangkan banyak kebaikan kepada masyarakat luar serta tidak terkecuali juga kepada diri mahasiswa dan mahasiswi itu sendiri. Antara kebaikan yang utama ialah pengalaman. Saya yakin bahawa tanpa adanya program sedemikian, agak sukar bagi kami mahasiswa dan mahasiswi UM untuk dapat merasakan pengalaman seperti ini melainkan individu itu sendiri mencari inisiatif lain. Pengalaman merupakan suatu perkara yang amat berharga. Ianya merupakan sesuatu yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata. Sebaliknya ia hanya dapat dirasai dengan melalui sendiri situasi tersebut.


Secara peribadi saya sendiri bahawa inilah kali pertama saya meluangan waktu bersama dengan anak yatim. Ini merupakan suatu pengalaman yang tidak ternilai bagi saya. Hal ini kerana saya berpeluang untuk mendekati anak yatim tersebut bagaikan “abang” dan “adik”. Fasa semasa ini juga mengajar saya erti realistik dalam melaksanakan sesuatu. Tidak setiap perkara dapat dilaksanakan seprtimana yang telah dirancang. Fasa ini turut mengajar saya pemikiran kritis seperti membuat suatu keputusan dengan pantas dan bijak.


Fasa Selepas

Fasa selepas merupakan suatu fasa yang berlaku selepas fasa semasa. Program jalinan masyarakat tidak la terhenti di pusat jagaan anak yatim itu sahaja. Ianya masih berjalan tetapi secara tidak langsung. Terdapat beberapa perkara yang kami lakukan selepas pulang daripada Rumah Jagaan Anak Yatim/Miskan Ruqaiyah yang terletak di Kajang pada 14 hingga 15 April 2018.


Antara perkara yang kami lakukan ialah, kami adakan post mortem. Kami telah berkumpul di surau akademi pengajian islam UM dan jalankan post mortem. Kami membincangkan setiap gerak kerja kami pada hari kejadian secara terperinci. Setiap unit telah membentangkan gerak kerja mereka di dalam post mortem tersebut. Pembentangan tersebut berjalan dengan lancar. Setiap ketua unit yang bentang telah membentang dengan baik. Manakala ahli kumpulan yang lain sama ada daripada unit tersebut mahupun dari unit yang lain turut memberikan komitmen seperti tidak membuat bising, fokus terhadap apa yang sedang dibentangkan oleh pembentang dan tidak mengganggu pembentang sehingga selesai.


Selain itu, kami juga ada mengadakan perjumpaan bagi menyiapkan laporan akhir berkaitan program jalinan masyarakat (GIG1005). Laporan telah disiapkan dengan baik dan kemas oleh setiausaha kumpulan kami serta turut dibantu oleh ahli kumpulan yang lain. Kerjasama yang ditunjukkan ahli kumpulan bermula dari fasa perancangan tidak terhenti pada fasa semasa sahaja bahkan masih diteruskan dalam fasa selepas. Ini merupakan suatu sikap yang harus dipuji bagi saya kerana memberi komitmen ketika program berlangsung itu sudah cukup bagus tetapi tetap memberikan komitmen selepas tamatnya program merupakan suatu perkara yang luar biasa dan ianya sangat bagus.


Akhir kata, program jalinan masyarakat memberikan kesan yang cukup mendalam dalam diri saya sendiri. Ianya bukanlah hanya program semata-mata. Bahkan ianya memberikan saya pengalaman yang berharga dan juga mengajar saya pelbagai perkara khusunya berkaitan pengurusan sebelum, semasa dan selepas program. Selain itu, mencurahkan bakti kepada masyarakat khusunya anak yatim dan miskin telah memberikan impak yang besar dalam kehidupan saya sendiri dimana saya dapat lebih mengenali dan mendekati mereka daripada aspek yang berbeza. Memori bersama dengan adik-adik di pusat jagaan tersebut dan bersama rakan-rakan mahasiswa dan mahasiswi juga akan terus kekal dalam jiwa dan minda saya.



Comments


bottom of page