AIN
- Unit Media
- May 20, 2018
- 3 min read
Updated: May 22, 2018

NUR FARAH AIN BT MOHD TARJUDDIN
IIO170021
KUMPULAN 1
Pada semester kali ini iaitu semester dua, saya dan rakan-rakan telah diwajibkan untuk menjalankan
program Jalinan Masyarakat (JM) dengan tema yang dipilih iaitu ‘ Seize Your Success’. Bersyukur kepada
Allah s.w.t yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu kerana dengan izin-Nya kami telah berjaya
melaksanakan program JM ini pada 14-15 April 2018. Sebelum program itu berlangsung, kami telah
beberapa kali bermesyuarat untuk menentukan organisasi untuk menguruskan aktiviti di dalam program
ini dan pelbagai persiapan telah dilakukan. Antaranya ialah pemilihan tempat, kertas kerja, bajet dan
lain-lain yang dirasakan perlu. Setelah perbincangan dibuat, kami telah bersetuju untuk memilih Sekolah
Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin Kampung Jawa, Klang untuk dijadikan tempat program JM ini
dilaksanakan. Program ini telah dijalankan untuk pelajar Tingkatan 2 sekolah berkenaan. Sebelum itu,
beberapa orang wakil selaku penyelaras program telah bertemu dan berbincang tentang akitiviti JM ini
dengan pihak sekolah. Pihak sekolah telah memberi maklum balas yang positif terhadap program ini
sekaligus memudahkan lagi kerja kami. Kami berasa bangga dan berbesar hati dengan penerimaan itu.
Sebelum program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya, terdapat banyak cabaran, dugaan dan
halangan yang saya dan rakan-rakan hadapi. Antaranya kami menghadapi masalah kewangan dan
kekurangan dana untuk menampung kos-kos sepanjang program ini dijalankan. Memandangkan saya
sendiri merupakan ahli jawatankuasa dana dan tajaan, saya dapat merasakan tekanannya. Kami telah
melakukan pelbagai cara untuk mengumpul dana antaranya dengan menjual roti sosej dan roti telur,
mengadakan ‘housekeeping’ dan sebagainya. Selama lebih kurang sebulan, saya dan rakan-rakan
bersama-sama membuat sendiri roti tersebut dan menjualnya di kolej-kolej kediaman dan juga
membuat penghantaran terus kebilik. Sememangnya usaha kami itu agak memenatkan tetapi kami
tetap melakukannya dengan bersungguh-sungguh demi mendapatkan dana. Kami juga turut meminta
tajaan daripada syarikat-syarikat dan alhamdulillah berkat usaha dan kesabaran kami, akhirnya dana
yang kami kumpul mencapai target.
Pada hari pertama program JM, sebelum bertolak kami semua telah dibahagikan kepada beberapa
kumpulan. Jika dilihat pada mata kasar, pembahagian kumpulan ini mungkin untuk memudahkan
sesuatu kerja sahaja. Namun, motif utamanya adalah untuk memberi peluang kepada kami semua
bergaul, berorganisasi, dan bekerjasama dengan mereka yang saya tidak sempat kenal dengan lebih
rapat lagi sebelum ini. Sesampainya kami disana, kami telah disambut mesra oleh para pelajar. Saya
telah menjadi fasilitator untuk kumpulan yang telah ditetapkan. Program kami bermula pada petang itu
dengan aktiviti ‘ice breaking’ dan pada belah petang kami mengadakan ‘explorace’. Melalui program ini,
saya dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi, bersosial dengan para pelajar dan sebagainya.
Pada sebelah malamnya, Latihan Dalam Kumpulan(LDK) pula dilakukan. LDK yang dijalankan telah
banyak membantu saya untuk lebih yakin apabila bercakap dihapadan ramai. LDK ini telah membantu
saya sebagai fasilitator untuk lebih berani berkongsi idea-idea saya dan bersedia untuk mendengar
kritikan atau pandangan dari para pelajar. Aktiviti ini juga telah membentuk saya menjadi seorang yang
lebih peka dan fokus terhadap seseorang yang melontarkan idea atau sedang berhujah. Nilai-nilai murni
juga telah berjaya diserap dan saya amat bertuah kerana program Jalinan Masyarakat ini telah banyak
memberi saya peluang untuk menilai keupayaan diri saya untuk menjadi seorang yang lebih proaktif,
fleksibel dan berkeyakinan tinggi. Pada keesokan harinya, riadah diadakan dan diteruskan dengan
aktiviti-aktiviti lain seperti ceramah bersama alumni dari Universiti Malaya dan sebagainya.
Mungkin kerana ini adalah program pertama anjuran kami sendiri maka terdapat beberapa kekurangan
yang dapat dikenalpasti semasa program ini dijalankan. Antaranya ialah dari segi pengurusan. Selain itu,
terdapat juga aktiviti yang lambat bermula kerana ketepatan masa para pelajar dan fasilitator sendiri.
Oleh itu, diharapkan pada masa akan datang dapat dibaiki lagi disiplin termasuk untuk diri saya sendiri.
Meskipun saya dan para pelajar tidak dapat mengenali dengan lebih rapat kerana program Jalinan
Masyarakat ini sangat terhad dimana hanya mengambil masa selama 2 hari 1 malam sahaja namun ia
benar-benar telah memberi saya banyak input yang amat berguna kepada saya untuk diaplikasikan
dalam kehidupan seharian terutamanya kehidupan saya dalam profesion perguruan.
Kesimpulannya, program JM ini telah meninggalkan kesan yang agak mendalam terhadap diri saya
kerana saya berpeluang menjalankan aktiviti dalam suasana yang menyeronokkan bersama para pelajar
Tingkatan 2 di sekolah ini. Sekian terima kasih.
Comments