8. NORHALISA BINTI SAMSUDDIN (IIO170019)
- Unit Media
- May 23, 2018
- 3 min read

Kerana Masyarakat ...
Bermula pertemuan pertama,
Strategi mula dibincang dan dibina,
Cadangan dilontar dari pelbagai arah,
Organisasi disusun sebagai pemudah cara,
Gerak kerja lebih tersusun persiapan pun bermula.
Bukan sikit cabaran diharungi,
Kegigihan setiap ahli wajar dipuji,
Mencari lokasi penuh prosedur harus diikuti,
Menguji kesabaran para ahli menghadapi realiti,
Demi kelangsungan sebuah aktiviti,
Berhasrat tinggi hendak berbakti,
Bukan sekadar menyiapkan tugasan kendiri.
Sehingga tiba tarikh keramat,
Kita masih gigih menyemai semangat,
Ke dalam diri agar terus kuat,
Infaqkan diri buat masyarakat,
Demi mencari pengalaman sarat,
Agar dinilai bakti di akhirat.
Hlovate, salah seorang penulis kegemaran aku pernah menyatakan dalam bukunya,
“Hope for the BEST, Prepare for the WORST”.
Sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Insyirah ayat 5-6 :
فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (5) إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا (6)
Maksudnya : Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, (5), sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan (6).
Dan sememangnya itulah antara cabaran yang kami hadapi sepanjang dalam penilaian kursus GIG1005 ini. Dari segi penetapan tarikh, agak sukar untuk menetapkannya kerana pada bulan April 2018, Akademi Pengajian Islam tidak lekang dengan anjuran program yang memerlukan keterlibatan pelajar, dan ada antara kami merupakan antara tulang belakang program yang dianjurkan. Namun setelah sedikit konflik berkenaan tarikh, kami mencapai persetujuan untuk menjayakan program pada 14 dan 15 April setelah melihat kepada keperluan masa mengumpul dana dan penyusunan modul pengisian. Ikhsan sebagai pengarah mendengar pandangan dari semua pihak dan memberi cadangan untuk masing-masing perlu bijak mengutamakan mana yang perlu diutamakan (fiqh aulawiyyat) kepada semua ahli untuk menenangkan suasana yang agak tegang berlaku semasa penetapan tarikh.
Barisan pimpinan Majlis Tertinggi bertungkus-lumus di belakang tabir menghubungi berpuluh buah sekolah untuk menjadi lokasi kami menyempurnakan kursus ini. Dipendekkan cerita, menurut MT, terdapat 3 buah sekolah yang memberi respons positif terhadap kami, namun disebabkan masalah tarikh yang tidak sesuai, dan berlaku pembatalan di saat akhir, iaitu kurang seminggu dari tarikh program, kami semua tercengang dengan apa yang berlaku, namun sekali lagi, pihak MT mampu mengatasi masalah ini dan akhirnya ditaqdirkan kami menyantuni anak-anak yatim/miskin di Pusat Jagaan Anak Yatim / Miskin Rukaiyah, Sungai Merab Luar, Kajang,
Saya selaku ketua biro protokol program agak terkilan atas kelambatan makluman, maka segala perancangan yang telah dilakukan terpaksa dirombak sepenuhnya untuk meyesuaikan tahap mentaliti sasaran peserta. Maka, kami membuka cadangan daripada mana-mana ahli yang mempunyai idea kerana singkatnya masa agak menyusahkan kami untuk memikrkan sendiri tentang pengisian modul. Kerjasama padu daripada semua ahli memudahkan kerja kami menyusun modul meskipun ada di antara kami yang korbankan masa tidur beberapa hari untuk meyempurnakan modul.
Persiapan bahan modul juga terpaksa disediakan kurang sehari sebelum program, maka bantuan daripada rakan ahli satu kolej kediaman (kelima) sangat membantu dalam proses menyiapkan bahan modul (Hasibah, Hajar, Wani). Borang-borang pula diuruskan oleh Bella (soal selidik), Rusyi (tentatif) dan saya teruskan dengan mencetak semua borang berkenaan.
Tiba di hari kejadian, masalah tidak terhenti namun bertambah lagi. Sambutan peserta agak hambar setibanya kami di sana menyebabkan suasana menjadi agak canggung. Namun, atas inisiatif rakan ahli, kami memulakan aktiviti dengan tarian lagu tema untuk membina ‘bonding’ antara AJK dan peserta. Setelah itu barulah kami memulakan slot pengisian yang pertama dan adik-adik peserta memberi respon yang lebih aktif berbanding pada awalnya.
Slot alumni juga berlangsung dengan lancar kerana alumni jemputan (Kak Zaty) mengisi masa yang ada dengan perbanyakkan interaksi dengan adik-adik peserta meskipun kekurangan alat bantu seperti ketiadaan slide dan projector.
Pada pendapat saya, setiap orang yang diamanahkan (termasuk Kak Zaty) menyempurnakan tugasan dengan baik dan professional, meskipun pada mulanya berlaku sedikit masalah dengan masa teranjak dan sebagainya, namun PIC yang ditugaskan berusaha memastikan suasana tidak menjadi hambar dan cuba mendekati adik-adik peserta untuk membina hubungan baik, sehinggakan waktu rehat untuk makan, ada yang makan semeja dan bercerita tanpa kekok. Maka, saya kira walaupun dengan kesulitan yang kami hadapi, saya pecaya semua berusaha untuk mengatasinya dan membantu sesama lain demi kesempurnaan di mata adik-adik peserta dan menggembirakan mereka tanpa mereka tahu kesulitan yang kami hadapi demi menjayakan program tersebut.
Saya berharap aktiviti seperti ini kami dapat anjurkan lagi pada masa akan datang, sekiranya tiada peluang, kamilah yang mencipta peluang itu, InshaAllah. Setelah berakhirnya 2 hari kami bersama adik-adik peserta, terasa seolah-olah tidak cukup dan mahu menambah sehari lagi kerana tatkala itu hubungan sesama kami sudah pun menjadi erat, malahan di kalangan AJK sendiri secara tak langsung semakin rapat daripada sebelum ini. Melalui program ini juga, saya dapati ketiga-tiga domain (afektif, kognitif, psikomotor) dapat diaplikasikan dengan sempurna tidak kira kepada kalangan AJK mahupun peserta melalui pengisian dan gimik yang kami telah rancang bersama.
Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang hambaNYA tidak ketahui, maka ketetapan ini kami terima dengan hati yang terbuka dan berlapang dada. Oleh yang demikian, tumpuan dan kerjasama yang sangat baik dalam kalangan AJK untuk fasa sebelum, semasa dan selepas program sangat menggembirakan hati saya.
“Yang terlihat mahupun tidak,
Segala usaha memberi impak,
Bermacam kesusahan dan tribulasi tercampak,
Dalam merancang sebuah kronologi,
Perlu diakui semua ini lah yang megajari,
Betapa kebersamaan dalam sebuah entiti,
Tunjang kejayaan sesebuah aktiviti,
Terletak pada nilai memberi,
Keikhlasan kesabaran jua dipelajari,
Dalam menghadapi fasa mehnah duniawi.”
コメント