4. Mohd Muazzam Mifzal bin Najarudin (IIO170009)
- Unit Media
- May 23, 2018
- 6 min read

Bismillah.
Alhamdulillah, setinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas dengan izinNya jua saya bersama rakan-rakan saya mampu melaksanakan program Jalinan Masyarakat di bawah nama “Learn, Educate, Aspire & Determine” atau lebih dikenali dengan akronim LEAD.
Pada 14 hingga 15 April 2018, seramai 33 mahasiswa daripada Program Pendidikan Islam telah berkunjung ke Pusat Kebajikan Kanak-kanak Yatim/Miskin Rukaiyah yang terletak di Sungai Merab Luar, Kajang. Lokasinya yang berdekatan sempadan Kajang dan Bangi menjadikan pusat ini tidak terlalu sunyi dari komuniti sekeliling, membuakkan rasa ingin tahu bagaimana keadaan penghuni di sini. Jika dilihat dari norma masyarakat, golongan ini dilihat seringkali terasing dari dunia luar, malah melalui pengamatan peribadi secara kasar, kebanyakan mereka hanya mengerti mengenai isu-isu arus semasa melalui apa yang dibicarakan dalam komuniti mereka sahaja. Ada sesetengah mereka mengambil langkah yang boleh diperdebatkan hanya semata-mata ingin merasai keadaan dunia luar, yang sesetengah melihatnya sebagai wajar manakala sesetengah yang lain menentang sekeras-kerasnya. Oleh itu, pada permulaan program ini saya secara peribadi mengharapkan bahawa dengan terlaksananya program ini mampu memberi pendidikan secara non-formal mengenai keadaan semasa negara kepada para penghuni pusat kebajikan ini, dan pada masa sama memperingatkan mereka mengenai kepentingan beragama dan amalannya dalam gaya hidup seharian, sesuai dengan status kami sebagai mahasiswa/i yang sedang menuntut dalam bidang Pendidikan Islam.
Fasa Perancangan
Dalam melaksanakan sesebuah program, sememangnya memerlukan permulaan dan perancangan yang teliti agar sekecil-kecil masalah tidak timbul semasa program berlangsung. Adapun kewujudan masalah-masalah, mampu diselesaikan dengan cara alternatif yang baik dan sesuai untuk semua pihak.
Perancangan program bermula sejak minggu ketiga semester kedua, dengan memulakan proses “scouting” atau pencarian lokasi program kerana melihat keadaan kumpulan kami yang mempunyai latar belakang berbeza, dan ditambah dan kekurangan mahasiswa/i tempatan (yang berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor), maka perhubungan luar dalam mencari lokasi sesuai agak kekurangan. Pada suatu ketika, kami berhasil untuk menghubungi Sekolah Agama Menengah (SAM) Sungai Merab Luar (SAMSMEL) dan pada mulanya mereka bersetuju untuk melaksanakan program tersebut di sekolah mereka.
Maka setelah itu, bermulalah perancangan tentatif dan modul. Pada waktu ini, Unit Program & Protokol cukup memainkan peranan yang baik dalam penghasilan modul yang sesuai untuk pelajar-pelajar sasaran dan juga sesuai mengikut kemampuan para mahasiswa/i yang secara langsung dan tidak langsung terlibat sebagai fasilitator. Walau bagaimanapun, ini tidaklah bererti unit-unit lain tidak menjalankan tugas dengan baik. Bahkan, unit-unit lain bertindak sebagai komplemen dengan mempersiapkan komponen masing-masing dalam menjayakan keseluruhan program.
Berbicara mengenai unit-unit, pengurusan organisasi juga dilihat sangat baik. Sebagai memastikan unit-unit tidak mengambil maklum mengenai makluman-makluman terbaru dari majlis tertinggi (MT), setiap MT telah diamanahkan sebagai payungan kepada setiap unit agar MT bukan sahaja dapat memaklumkan perkembangan terbaru program bahkan dapat berkongsi perkembangan-perkembangan unit payungan masing-masing agar semua ahli MT maklum akan perjalanan gerak kerja unit payungan dan unit-unit lain. Sementara itu, memperlihatkan kekuatan mahasiswa yang kurang dalam kumpulan ini, para MT dengan perbincangan teliti bersama ahli-ahli kumpulan yang lain bersetuju untuk meletakkan mahasiswa dalam unit-unit yang mempunyai tugas-tugas fizikal seperti Unit Pengangkutan & Logistik, Unit Makanan, Unit Tugas-tugas Khas & Cenderamata dan Unit Kebajikan & Keselamatan.
Namun begitu, sudah ditakdirkan Ilahi, SAMSMEL yang merupakan sekolah yang ingin kami kunjungi itu terpaksa membatalkan persetujuannya atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Walau bagaimanapun, kami tidak ditinggalkan terkontang-kanting, pihak SAMSMEL sangat bermurah hati memberikan kami nombor pusat kebajikan yang terletak berhampiran dengan sekolah tersebut. Dalam masa dua minggu yang berbaki, pihak MT kembali memulakan proses pengenalan lokasi dan pihak pusat kebajikan bersetuju dengan kertas kerja cadangan yang telah kami berikan.
Maka dalam masa lebih kurang seminggu, kebanyakan perancangan yang telah dibuat terpaksa disusun semula agar ia sesuai dengan sasaran penghuni pusat kebajikan. Apabila pelbagai perancangan terpaksa disusun oleh Unit Program & Protokol, begitu jugalah kisahnya dengan unit-unit yang lain. Walau bagaimanapun, kebanyakan perancangan berjaya dihasilkan, masih dalam kawalan baik dan bersiap sedia untuk dilaksanakan.
Fasa Semasa
Pagi hening Sabtu, 14 April 2018 kami memulakan perjalanan daripada Universiti Malaya ke Pusat Kebajikan Kanak-kanak Yatim/Miskin Rukaiyah, Kajang. Perjalanan yang dilihat secara skeptiknya agak lama ternyata hanya mengambil masa kurang daripada 2 jam. Setibanya kami di sana, kami disambut oleh para penghuni pusat kebajikan tersebut. Setelah bersalam dan berkenalan secara ringkas, kami membuat persediaan tempat selama 30 minit sebelum memulakan aturcara yang pertama.
Slot pagi berlangsung dengan agak baik dengan sesi taaruf, sesi pengenalan program dan aktiviti-aktiviti yang berunsur refleks dan ketangkasan berfikir. Kami juga dapat mengenali bagaimana umur yang berbeza mampu menghasilkan hasil berbeza dari sudut membuat keputusan dan mencari solusi kepada sesebuah permasalahan. Hal ini kerana demografik penghuni pusat kebajikan ini adalah sangat berdinamik yang merangkumi pelajar berumur sembilan hingga tujuh belas tahun.
Sesuai dengan petang yang sedang-sedang hangatnya, kami mulakan slot riadah dengan mengadakan beberapa permainan sukaneka. Sesuai juga dengan keadaan mereka sebagai pelajar, ini adalah peluang kami untuk melihat sama ada permainan yang dijalankan juga sesuai untuk pelbagai lapisan umur. Selain itu, kami juga melihat adakah dengan beberapa modifikasi atau penambahbaikan dibuat dapat dijadikan sebagai salah satu bahan bantuan mengajar yang baik, sama ada semasa set induksi mahupun pencapaian objektif pembelajaran.
Kala senja meniti, beberapa perkara yang saya lihat agak menarik untuk saya ambil iktibar iaitu bagaimana pada usia muda, mereka telah didedah dengan amalan-amalan sunat yang mudah seperti bacaan Al-Ma’thurat pada waktu petang sebelum Maghrib dan solat sunat Qabliah dan Ba’diah. Setelah selesainya tazkirah daripada wakil fasilitator, solat Isyak ditunaikan dan tanpa rasa kekok, kami sama-sama memulakan bacaan Al-Mulk yang ramai mengamalkannya sebelum tidur. Ini menunjukkan bahawa betapa pendidikan kerohanian sangat dititikberatkan di pusat kebajikan ini, yang turut seimbang dengan tuntutan duniawi.
Sebelum malam melabuh tirai, kami sempat mengadakan slot muhasabah diri di samping meraikan hari lahir beberapa penghuni pusat kebajikan tersebut sebelum melepaskan mereka untuk berehat.
Hari kedua bermula. Sebelum mentari terbit lagi, kami sudah memulakan usaha untuk mengejutkan penghuni pusat kebajikan dengan bantuan pengurus pusat itu sendiri untuk melaksanakan qiyamullail. Meskipun ada mereka yang agak sukar dikejutkan dari buaian mimpi lena mereka, tetapi agak menarik apabila ramai yang mampu untuk bangun melaksanakan qiyamullail meskipun secara bersendirian. Apabila subuh berkumandang, kami teruskan dengan bacaan Al-Ma’thurat, dan mereka dilepaskan untuk membuat persiapan diri.
Usai sarapan pagi, kami bahagikan mereka mengikut jantina, di mana para peserta lelaki akan bersama fasilitator lelaki untuk slot praktikal azan. Manakala para peserta perempuan akan bersama fasilitator perempuan untuk slot hal ehwal wanita. Sebagai pengendali slot ini, saya berasa amat terkejut dengan kemampuan mereka untuk mengumandangkan azan. Meskipun sesetengah daripada mereka belum cukup sempurna dari sudut alunan dan sebutan, namun saya cukup memuji kemampuan mereka dan bagaimana setiap peserta tidak mempunyai rasa kekok mahupun malu untuk tampil ke hadapan.
Setelah selesai slot tersebut, kami teruskan dengan slot perkongsian pintar atau sharing moment, di mana kami bersama-sama para peserta mengimbas semula perjalanan program selama hampir dua hari ini, dan apa pendapat mereka mengenai aturcara, slot dan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang telah diadakan. Sebagai dokumentasi, kami juga mengagihkan borang penilaian kepada para peserta untuk diisi.
Apabila majlis penutup tiba, kami sudah bersiap sedia secara zahirnya. Namun, pada pandangan peribadi, saya yakin secara lahiriahnya tiada siapa di antara kami yang cukup bersedia untuk meninggalkan para penghuni pusat kebajikan ini dengan hanya yang kami bawa adalah memori yang kami rakamkan. Usai majlis penutupan, kami menunaikan solat Zohor, makan tengahari dan bersiap untuk bergerak pulang ke Universiti Malaya.
Fasa Selepas
Setelah program ini selesai, terdapat beberapa perkara yang dapat saya amati dan bagi saya menarik untuk diambil iktibar. Antaranya adalah betapa pentingnya perancangan teliti dalam pelaksanaan program. Ini diakui pada fasa perancangan bagaimana semua pihak bertungkus-lumus menyelesaikan tugas-tugas yang telah diberi agar pada hari kejadian program mampu dilaksanakan dan berjalan dengan baik.
Kedua, mahasiswa yang mampu berfikir tangkas dan rasional adalah mahasiswa yang mampu beradaptasi dengan masalah dan mampu mencari solusi. Meskipun diduga dengan pertukaran tempat pada saat-saat akhir, kami mampu melaksanakan program dengan baik meskipun kebanyakan perancangan ditukar secara drastik. Namun, tahap profesionalisme dan ketangkasan dalam berfikir dan membuat keputusan rasional menjadikan gerak kerja lancar dan tidak menampakkan cacat cela yang terlalu ketara.
Ketiga, mendalami kehidupan orang lain. Sesuai dengan status kami sebagai penuntut dalam bidang pendidikan, semestinya kami di waktu akan datang akan berhadapan dengan golongan yang seusia dengan penghuni Pusat Kebajikan Kanak-kanak Rukaiyah dengan perbezaan demografik yang tidak terlalu berbeza. Ini secara langsung mahupun tidak langsung menguji kami tentang bagaimana untuk memberi reaksi dan pendapat kepada murid-murid yang semestinya mempunyai kerenah yang berbeza dan fahaman berbeza dalam penerimaan ilmu. Namun, demikianlah tugas seorang pendidik untuk terus mempunyai perwatakan yang berbeza agar semua murid-murid yang mempelajari sesuatu ilmu mampu menerima dan mengintepretasi dengan cara mereka, namun masih mampu mencapai objektif pembelajaran yang digariskan. Pusat kebajikan seperti inilah merupakan medan yang cukup tepat untuk memahami situasi berhadapan dengan murid-murid, sama ada dalam mahupun luar bilik darjah.
Keempat, sikap kerjasama semestinya dan selamanya adalah tunjang kepada keberhasilan yang cemerlang. Semestinya, hasil dan respons yang kami terima daripada program ini pastinya bukan atas usaha yang dilakukan secara bersendirian, namun atas kerjasama daripada semua pihak. Tanpa kerjasama ini, program ini mungkin menampakkan cacat celanya. Bahkan, mungkin tidak mampu dilaksanakan atas kudrat yang ada. Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama dalam program ini sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Kami sekadar jambatan dan membanting kudrat berulang kali tanpa kerjasama yang baik, dalaman mahupun luaran. Semoga dengan terlaksananya program ini, mampu membuka sudut pandang masyarakat luar sana mengenai tahap intelek penghuni pusat-pusat kebajikan di sini dan bagaimana seharusnya masyarakat menerima kehadiran mereka.
Sekian, terima kasih.
Comments