28. NIK NURINA BT NIK AHMAD SUFFIAN (IIN170011)
- Unit Media
- May 23, 2018
- 2 min read

Jalinan Masyarakat adalah satu subjek wajib yang mesti diambil oleh pelajar di Universiti Malaya khususnya untuk pelajar sesi 2017/2018. Mahasiswa dan mahasiswi Program Pendidikan Islam bagi kumpulan 2 telah memilih Pusat Jagaan Kanak-Kanak Rukaiyah untuk menjalankan program Lead, Educate, Aspire & Determine (LEAD) selama dua hari satu malam.
Pada hari pertama perjumpaan, kami semua berbincang dan melantik ketua-ketua biro. Semua pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan dalam unit masing-masing. Saya telah memilih untuk berada di bawah unit makanan kerana sebelum ini dalam mana-mana program saya tidak pernah lagi berada di bawah unit makanan, jadi saya mengambil kesempatan untuk merasai pengalaman sebagai ahli unit makanan. Selepas itu, kami berbincang mengenai menu-menu yang hendak dimakan semasa hari program tersebut. Saya membuat perancangan awal dengan mencatat segala keperluan dan menyenaraikan barang-barang yang perlu dibeli. Selepas itu, kami membahagikan tugas seperti memutuskan siapa yang akan membeli barang-barang makanan, mengenal pasti siapa yang akan bertanggungjawab untuk mengetuai gerak kerja pada hari program dan lain-lain. Pada waktu ini, saya berasa tidak sabar untuk berjumpa dengan para peserta yang terdiri daripada anak-anak yatim.
Hari yang dinanti-nantikan telah tiba. Kami bertolak ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Rukaiyah dengan menaiki bas. Alhamdulillah, kami sampai ke destinasi tepat pada waktunya. Setibanya kami di Pusat Jagaan Kanak-Kanak Rukaiyah, kami disambut baik oleh staff-staff dan para peserta yang terdiri daripada kanak-kanak. Mereka kelihatan sungguh gembira dengan kedatangan kami semua. Selepas selesai melakukan aktiviti seperti ice breaking dan latihan dalam kumpulan, saya bersama-sama ahli unit makanan bersiap sedia menyediakan dan menghidangkan makanan dan minuman. Selepas para peserta selesai makan saya dan ahli unit makanan bersama-sama membersihkan tempat makan dan membasuh pinggan dan gelas. Saya bersyukur kerana mendapat rakan kerja yang mengamalkan sikap kerjasama dalam melakukan apa-apa tugasan. Saya bersama ahli unit makanan perlu bersedia menghidangkan makanan dan minuman, beberapa minit sebelum waktu makan tiba bagi mengelakkan kelewatan yang akan mengganggu aktiviti selepas itu. Hati saya berasa puas apabila melihat para peserta dengan begitu berselera selepas melakukan beberapa aktiviti sebelumnya.
Setelah berakhirnya Program Jalinan Masyarakat, saya berasa sangat bersyukur kerana dapat menyumbangkan tenaga kepada anak-anak di pusat jagaan ini. Ini merupakan kali kedua saya menyertai aktiviti kemasyarakatan. Saya juga akan terus melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini pada masa yang akan datang jika mempunyai waktu yang terluang. Semua pengalaman dan ilmu pengetahuan yang saya dapat ini adalah tidak ternilai dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Segala penat lelah yang dilalui untuk hilang apabila melihat para peserta tersenyum dan gembira dengan program yang kami kendalikan. Saya juga menyedari bahawa semangat kerjasama daripada pelbagai pihak sangat penting untuk memastikan sesuatu program berjalan dengan lancar.
Comments