26. NORHUSNINA BINTI SAIDI (IIN170017)
- Unit Media
- May 23, 2018
- 2 min read

FASA PERANCANGAN
Sebelum menjalankan aktiviti kemasyarakatan di Rumah Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah, saya dapat melihat dan mempelajari cara untuk mengendalikan sesuatu program bermula dari pembentukan Ahli Majlis Tertinggi sehinggalah ke peringkat rendah. Selain itu, saya juga dapat mempelajari cara untuk merancang dan menjana idea bagi setiap aktiviti dan slot yang bakal dilakukan bagi memastikan program ini dapat berjalan dengan lancar seperti Slot Bersama Alumni dan lain-lain lagi. Semua rakan-rakan pasukan berusaha semampu mungkin untuk memberikan khidmat yang terbaik. Sebagai contoh, saya dapat melihat kesungguhan Ahli Majlis Tertinggi untuk mencari tempat yang terbaik bagi mengadakan program kemasyarakatan ini. Saya juga melihat kesungguhan unit-unit yang terdapat dalam program ini seperti Unit Dana dan Tajaan yang berusaha keras bagi mencari dana untuk menampung perbelanjaan bagi program ini walaupun sibuk dengan perkara dan subjek yang lain. Saya juga melihat perlunya untuk ketua atau Ahli Majlis Tertinggi untuk memberi maklumat tentang program dengan kadar yang secepat mungkin agar tidak akan timbul masalah di kemudian hari.
FASA SEMASA
Semasa program kemasyarakatan ini dijalankan, saya berpengalaman melihat dan merasai serba sedikit kesusahan dan keperitan yang dialami oleh anak-anak yatim di Rumah Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah. Ketika berada di sana, saya sempat untuk menyantuni dan berbual dengan adik-adik penghuni dan mereka berkongsi cerita bahawa mereka tinggal di sana kerana sudah tidak ada ahli keluarga yang ingin menjaga mereka dan ada juga di antara mereka yang menetap di sana kerana keluarga mereka tidak mampu untuk menampung mereka. Di samping itu, saya juga dapat melihat dan merasai bagaimana cara rakan sepasukan mengendalikan aktiviti sepanjang program ini berlangsung agar para peserta tertarik dan tidak mudah bosan. Hal ini secara tidak langsung sama dengan tugas sebagai seorang guru yang memerlukan kepandaian untuk menarik minat pelajar ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung.
FASA SELEPAS
Selepas program ini tamat dan selesai, saya dapat mengetahui cara mengendalikan program yang betul agar tidak akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa akan datang. Sebagai contoh, dalam melakukan aktiviti atau slot, kita perlulah pandai menyusun atur masa agar setiap apa yang dirancang dapat berjalan dengan baik dan tidak akan berlaku pertindihan atau masalah tidak cukup masa bagi sesuatu slot. Selepas program ini, saya juga dapat mengenali kawan sepasukan dengan lebih dekat hasil kerjasama dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Hal ini kerana sebelum program ini dijalankan, terdapat rakan-rakan yang saya kurang kenal dan jarang bertegur sapa, tetapi dengan adanya program ini, saya dapat berkenalan dengan lebih rapat lagi. Selai itu, program ini juga dapat mengajar saya untuk menjadi seorang hamba Allah yang bersyukur dengan setiap nikmat yang diberikan kerana terdapat insan lain yang menginginkan dan memerlukan nikmat dan kebaikan yang diberikan oleh Allah itu. Saya juga mendapat kesedaran untuk menyumbang kepada pihak-pihak yang memerlukan agar hidup mereka akan bertambah baik dan mendapat kegembiraan. Saya juga melihat setiap orang perlu mengambil perhatian dengan bidang tugas masing-masing agar program dapat berjalan dengan lancar dan tidak akan berlaku kekalutan dan salah faham. Sebagai contoh, setiap ahli jawatankuasa perlu mengetahui perjalanan program dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang bakal berlaku.
Kommentare