top of page

25. NURHIDAYAH BINTI HAMIJI (IIO170025)

  • Writer: Unit Media
    Unit Media
  • May 23, 2018
  • 2 min read

Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana memberi peluang kepada kami untuk mengadakan Program Jalinan Masyarakat di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim / Miskin Rukaiyah bertemakan Learn, Education, Aspire, Determine (LEAD) selama dua hari satu malam. Alhamdulillah program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya hasil kerjasama semua pihak.


Sebelum program dijalankan, kami mengalami kesulitan untuk meneruskan tugas-tugas masing-masing kerana berlakunya kekerapan pertukaran tempat dan tarikh program. Sebagai salah seorang dari ahli unit tugas-tugas khas, perkara ini menyulitkan kami untuk menempah plak. Kami terpaksa melakukannya pada saat-saat akhir. Selain itu, kami telah membuat beberapa persiapan untuk menjayakan program. Antaranya kami telah berjaya mengumpul dana yang mencecah RM1000 lebih. Saya berasa amat gembira dengan kadar dana yang telah diperolehi kerana ia mencukupi untuk program kami walaupun kami terpaksa berpenat lelah dengan menjual makanan di kolej kediaman dan memohon sumbangan dari rumah ke rumah. Kami juga mengalami kesukaran dalam memohon sumbangan kerana terdapat beberapa orang yang enggan menyumbang.


Penat lelah kami untuk melakukan persiapan program diganti dengan keseronokan sepanjang program. Pada hari pertama kami datang ke pusat jagaan tersebut, kami disambut dengan wajah yang riang oleh anak-anak yatim di sana. Pada awalnya, mereka kurang member kerjasama kepada fasilitator. Namun selepas itu, mereka dapat memberi kerjasama yang terbaik apabila sudah mula menyesuaikan diri dengan fasilitator. Kami telah meluangkan masa berborak dan bergaul mesra dengan anak-anak dan membuat pelbagai aktiviti yang bermanfaat bersama mereka. Antara salah satu aktiviti yang kami lakukan adalah sesi ‘ice-breaking’, yang mementingkan komunikasi dua hala antara pelajar dan juga fasilitator supaya dapat menambahkan keakraban antara satu sama lain. Saya dapat meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri walaupun pada awalnya saya berasa amat kekok kerana mereka enggan mendengar arahan kami. Saya agak sukar untuk memberi arahan kepada anak-anak di sana kerana saya juga seorang yang sangat pemalu dengan khalayak ramai. Namun demikian setelah melakukan beberapa aktiviti bersama mereka, sedikit sebanyak saya mampu untuk mengatasi rasa malu tersebut.


Selepas program dijalankan, saya berasa amat sedih kerana terpaksa meninggalkan anak-anak yatim yang begitu rapat dan manja. Dalam pada itu, saya berasa sangat gembira kerana berjaya melibatkan diri secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada saya untuk memberi khidmat kepada masyarakat dan mengasah kemahiran insaniah dalam diri yang kurang ditonjolkan sebelum ini. Program ini juga dapat memupuk sikap bertanggungjawab dalam diri untuk menyiapkan tugas saya pada masa yang ditetapkan supaya projek dapat berlangsung dengan lancar.


Kesimpulannya, saya tidak menyesal melibatkan diri dalam program ini kerana saya dapat menikmati kepuasan melihat kejayaan kami sebagai satu kumpulan dalam memberi impak yang positif kepada anak-anak yatim di rumah tersebut. Semoga anak-anak di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim / Miskin Rukaiyah menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat serta berguna kepada masyarakat pada masa akan datang. Dengan ini, saya berasa bersyukur dan berterima kasih atas kerjasama yang padu daripada Pusat Jagaan Anak-anak Yatim / Miskin Rukaiyah dalam menjayakan Program Jalinan Masyarakat ini.

Comments


bottom of page