23. NURLAILAH BINTI NOORDEN (IIO170026)
- Unit Media
- May 23, 2018
- 2 min read

Syukur ke hadrat ALLAH S.W.T kerana dengan izin-Nya saya telah diberikan ruang dan peluang untuk mengikuti program ke Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim/ Miskin Rukaiyah dibawah kursus Jalinan Masyarakat di Universiti Malaya. Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai cabaran dan halangan telah saya hadapi.
Pada mulanya, tarikh dan tempat yang kerap berubah-ubah amat menyulitkan saya dan kawan-kawan seunit untuk menempah plak penghargaan sebagai cenderahati kepada tempat yang akan dilaksanakan program. Kami juga kekurangan dana dan tajaan untuk melaksanakan program tersebut sehingga terpaksa menjual makanan kepada pelajar-pelajar Universiti Malaya dan pergi memohon sumbangan di kawasan-kawasan perumahan.
Tetapi, semua penat lelah hilang ketika kami tiba di rumah anak yatim, mereka menyambut kami dengan wajah yang gembira. Walaupun jumlah mereka agak sedikit, tetapi kerjasama yang mereka berikan sepanjang program berlangsung amat memberangsangkan. Ada di kalangan adik-adik dari rumah anak yatim tersebut yang berani dan sudi berkongsi kisah hidup mereka kepada kami walaupun kami adalah orang asing kepada mereka. Seterusnya, ahli kumpulan juga melakukan tugasan dengan baik mengikut gerak kerja yang ditetapkan kepada setiap unit. Selain itu, saya juga telah mempelajari bahawa seseorang hendaklah sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi suatu perubahan. Ini kerana terdapat beberapa tentatif program yang terpaksa diubah pada saat-saat akhir.
Selepas program ini berlangsung dengan jayanya, saya telah mengambil beberapa perkara sebagai iktibar dan panduan kepada diri saya untuk menempuhi cabaran pendidikan yang mendatang. Melalui program ini, saya dapat mempelajari bahawa setiap individu yang bakal bergelar pendidik hendaklah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain, yang mana berbeza dengan kehidupan kita. Selain itu, dari segi nilai-nilai murni yang dapat saya pelajari sepanjang program ini adalah nilai menghargai apa yang kita miliki. Ini kerana kita tidak merasakan apa yang dirasakan oleh adik-adik dari rumah anak yatim tersebut.
Akhir sekali, saya bersyukur kerana program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya dan berharap agar dapat menjalankan program-program seperti ini lagi pada masa akan datang. Paling penting, pengalaman dan pengetahuan yang saya perolehi sepanjang program dapat menjadi gambaran kepada saya sebagai bakal pendidik.
Commentaires