top of page

20. SITI NAZIRAH BINTI ISMAIL (IIN170031)

  • Writer: Unit Media
    Unit Media
  • May 23, 2018
  • 2 min read

FASA PERANCANGAN

Pada awalnya terdapat beberapa pilihan sama ada program ini akan dilakukan di sekolah, rumah orang asli dan rumah anak yatim. Saya amat berharap agar program ini dilakukan di sekolah, namun pada saat akhir perbincangan telah memutuskan bahawa rumah nak yatim adalah pilihan yang terakhir. Walaupun sedikit terkilan apabila diberitahu kami akan menjalankan program ini di rumah anak yatim kerana bidang kami menjurus ke arah pendidikan. Namun, kami akur kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Setelah itu, setiap unit mempersiapkan gerak kerja serta memantapkan skop-skop kerja yang perlu dilakukan.


Sebagai unit dana, saya dan ahli dalam unit perlu mencari sumber kewangan. Melalui pengalaman ini saya rasa akan lebih menghargai penggunaan sumber kewangan ini. Kami memperoleh sumbangan daripada pelbagai alternatif termasuklah menjual. Walaupun program ini terpaksa diubah pada saat-saat akhir, saya memuji usaha setiap unit yang bertungkus lumus untuk menjayakan program Jalinan Masyarakat ini di Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin Ruqaiyah di Sungai Merab.


FASA SEMASA

Pada hari kejadian, kami sampai sedikit lewat. Oleh itu, tentatif yang awalnya dirancang perlu diubah sedikit. Namun, saya memuji unit aktiviti dan protokol yang mampu mengatasi permasalahan ini kerana telah menyediakan pelan kedua atau ‘back up plan’. Saya amat berpuas hati dengan aktiviti yang dirancang oleh unit aktiviti kerana sedikit sebanyak membina persefahaman antara anak-anak permata syurga ini di bawah satu bumbung yang sama. Bahkan, usaha ini dipuji oleh pengetua rumah anak yatim ini kerana aktiviti tersebut mendatangkan satu kerjasama antara ahli kumpulan.


Namun, kekurangan kami adalah ketika mengejutkan anak-anak ini untuk qiam. Qiam merupakan salah satu daripada amalan wajib mereka. Melalui qiam ini, apa yang saya dapat lihat ialah kurangnya usaha antara kami semua. Bahkan perkara ini telah ditegur oleh pengetua tersebut. Beliau turut bersama turun padang membangunkan pelajar. Antara satu perbuatan yang perlu dicontohi adalah peraturan menyusun selipar. Peraturan ini amat ditekankan untuk menjamin kekemasan setiap anak-anak. Pengetua tersebut atau kami panggil ibu menunjukkan contoh yang baik kerana beliau turut bersama-sama menyusun selipar tersebut.

Slot alumni merupakan salah satu slot yang amat memberi impak kepada kami semua. Melalui slot ini kami dapat mengetahui serba sedikit kaedah yang digunakan dalam proses pembelajaran. Pengisian slot ini amat sesuai kerana berkaitan dengan akhlak. Di samping itu, unit makanan turut mempunyai sumbangan yang besar dalam menjayakan program jalinan masyarakat ini. Saya berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan. Namun saya sedikit terkilan apabila ada lebihan air minuman tidak diuruskan oleh unit makanan. Secara umumnya makanan yang disediakan amat menepati citarasa.


FASA SELEPAS

Akhirnya, program jalinan masyarakat ini amat melatih banyak kemahiran insaniah sesama kami. Kemahiran berkomunikasi boleh diperbaiki untuk program yang akan datang. Program Jalinan Masyarakat ini amat mengeratkan ukhuwwah antara kami serta sesama anak-anak yatim tersebut. Selain itu, saya dapat mengetahui serba sedikit tentang kehidupan anak anak tersebut. Seterusnya, program ini membolehkan kami mengenali kawan-kawan dengan lebih rapat. Di samping itu, saya dapat mengetahui serba sedikit gerak kerja unit dana dalam mencari sumber kewangan. Saya berharap agar ukhuwwah ini tidak hanya terhenti dalam program ini sahaja. Semoga kelemahan dapat diatasi dari semasa ke semasa pada masa akan datang. Kesabaran juga amat diperlukan dalam mendidik. Oleh itu, sama-samalah kita terapkan unsur ini dalam kehidupan seharian kita, tak kira dimana dan siapa kita.


Comments


bottom of page