2. MUHAMAD ZULAKMAL BIN MANAP (IIN170006)
- Unit Media
- May 23, 2018
- 2 min read

Bismillah,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya kami dapat menjalankan program jalinan masyarakat di rumah anak yatim dengan jayanya. Program ini telah berlangsung pada 14 hingga 15 April yang lalu.
Sejujurnya, pada fasa perancangan saya berasa agak cemas kerana kami mempunyai masalah dari segi pemilihan tempat untuk menjalankan program tersebut. Pada mulanya kami memang sudah mendapat tawaran daripada sebuah sekolah yang telah menawarkan tempat dan juga peserta bagi program ini tetapi tarikh yang diberikan tidak sesuai untuk dijalankan program tersebut. Akhirnya bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini daripada berlaku kami sepakat untuk memilih rumah anak yatim sebagai lokasi untuk menjalankan program ini.
Bagi fasa semasa pula, sebaik sahaja kami tiba di lokasi program, saya berasa sangat terkejut kerana keadaan tempat program bukanlah seperti yang digambarkan semasa mesyuarat sedang dijalankan. Untuk pengetahuan, kami telah menghantar beberapa orang wakil untuk meninjau lokasi program sebelum program dijalankan bagi memudahkan urusan semasa program dijalankan. Akan tetapi, salah seorang daripada mereka telah memberikan sebuah gambaran yang sangat kontra dengan situasi sebenar. Tujuan sebenarnya adalah untuk memberikan kami masa untuk melakukan persediaan mental dan fizikal yang secukupnya bagi menjalankan program ini.
Pada fasa selepas pula, program ini banyak memberi ilmu baru kepada saya khususnya dari segi cara untuk mengendalikan peserta dalam pelbagai situasi. Hal ini demikian kerana, bagi saya ini merupakan program rasmi pertama yang saya sertai dan saya juga menjadi fasilitator ataupun pengendali program. Maka ini telah menjadi satu pengalaman bermakna bagi diri saya. Saya juga sangat bersyukur kehadrat Ilahi kerana masih dikurniakan ibu bapa yang masih mampu menanggung dan menyara kehidupan saya. Hal ini demikian kerana, saya ada mendengar khabar bahawa bukanlah kesemua peserta yang berada di rumah anak yatim tersebut dari kalangan anak yatim. Ada sebahagian daripada mereka yang merupakan golongan yang tidak mampu ditanggung oleh ibu bapa. Saya juga sedar bahawa kerjasama berkumpulan sangat memainkan peranan yang penting dalam menjalankan sesuatu aktiviti.
Akhir sekali, harapan saya jika terdapat lagi program yang berkonsepkan seperti ini saya akan cuba sedaya upaya untuk menyertai bagi meningkatkan lagi kemahiran insaniah. Semoga program ini dapat memberi impak yang positif dalam diri ini.
Comments