18. NURUL AMIRAH NABILAH BINTI BAHARUDIN (IIO170027)
- Unit Media
- May 23, 2018
- 2 min read

Fasa Perancangan.
Pada bulan Mac 2018, kami mengadakan mesyuarat Jalinan Masyarakat untuk membentuk carta organisasi bermula dari Majlis Tertinggi sehingga ahli jawatankuasa bagi setiap biro. Setelah pelantikan dibuat, kami mencadangkan beberapa tarikh dan tempat yang sesuai untuk mengadakan program ini. Pada awalnya, kami bersetuju untuk mengadakan program ini di sekolah. Namun, disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan, kami menukar lokasi ke Pusat Jagaan Rukaiyah di saat-saat akhir. Hal ini menyebabkan banyak perubahan yang berlaku dalam tentatif yang telah dirancang khususnya aktiviti dan kami terpaksa merombak semula mengikut kesesuaian umur kanak-kanak di pusat jagaan tersebut. Walaubagaimanapun, perkara tersebut dapat diatasi dengan bantuan kesemua biro yang banyak memberi buah fikiran dan idea dalam menyelesaikan masalah ini. Kesemua biro juga memberikan kerjasama dan komitmen yang cukup baik dalam memastikan program yang akan dijalankan berjalan dengan lancar melalui persediaan yang dilakukan sebelum hari kejadian. Semua perancangan yang dibuat, berjalan dengan lancar dengan bantuan daripada pelbagai pihak.
Fasa Semasa.
Program Jalinan Masyarakat yang bertemakan Learn, Educate, Aspire, Determine (LEAD) pada awalnya tidak mendapat sambutan daripada adik-adik di pusat jagaan tersebut kerana mereka masih belum mengenali para fasilitator dengan lebih rapat. Setelah beberapa aktiviti dilaksanakan, kami dapat melihat bahawa adik-adik Pusat Jagaan Rukaiyah mula menyesuaikan diri dengan kakak-kakak dan abang-abang fasilitator dengan memberikan respon yang positif terhadap aktiviti tersebut. Kesemua aktiviti berjalan dengan lancar dan tepat pada waktunya melalui komitmen yang diberikan oleh para pelajar dan fasilitator yang cukup baik. Tambahan pula, aktiviti yang diadakan turut memberi manfaat yang banyak kepada para pelajar seperti slot Hal Ehwal Wanita “Kerana Dirimu Begitu Berharga” yang banyak membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan wanita khususnya dalam aspek kebersihan diri yang sangat dititikberatkan dalam Islam. Para fasilitator yang mengendalikan slot tersebut juga memberikan penerangan dan perkongsian yang begitu menarik dan banyak memberi input bukan sahaja kepada pelajar malah para fasilitator juga dapat mepelajarinya. Dari aspek kerohanian, para pelajar dan fasilitator menunjukkan disiplin yang baik dari segi ketepatan masa dan solat berjemaah walaupun sedikit kurang memuaskan ketika aktiviti qiamullail. Secara keseluruhannya, program ini berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang dibuat sebelum program berlangsung.
Fasa Selepas.
Program yang berlangsung selama dua hari telah melabuhkan tirainya. Terdapat banyak pengalaman dan manfaat yang kami peroleh melalui program ini. Program Jalinan Masyarakat ini sememangnya memberi kesan yang positif dalam diri seorang yang bergelar mahasiswa kerana kami dapat merasai sendiri kesusahan yang dihadapi oleh orang lain. Perkara ini sudah pasti dapat membentuk nilai simpati dan empati dalam diri seseorang supaya sentiasa cakna dengan kesusahan orang lain. Di samping itu, kami juga dapat berkongsi kegembiraan dengan adik-adik Pusat Jagaan Rukaiyah yang mempunyai latar belakang keluarga yang pelbagai. Kedatangan kami ke pusat jagaan tersebut sedikit sebanyak memberi semangat kepada mereka untuk belajar dan mencapai cita-cita yang mereka inginkan. Hal ini sudah pasti memberi semangat kepada kami yang bakal bergelar guru untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam mendidik generasi akan datang. Sekiranya program ini diadakan pada masa akan datang, saya sudah pasti akan melibatkan diri dengan program seperti ini kerana banyak pengalaman dan pengetahuan yang saya peroleh dalam memahami karenah pelajar sebelum menjadi guru pada masa akan datang.
Comments