top of page

16. Nur Husnna binti Kharul Hsham (IIO170024)

  • Writer: Unit Media
    Unit Media
  • May 23, 2018
  • 5 min read

Updated: Oct 14, 2020



i. FASA PERANCANGAN

Jujur sekali, pada mulanya kami pelajar SMPI kumpulan 2 agak khuatir dengan kelancaran program jalinan masyarakat ini. Ratio fasilititator dan peserta yang tidak seimbang antara faktor kerisauan, nisbah seorang peserta untuk tiga orang fasi. Kami juga dimaklumkan oleh beberapa orang Majlis Tertinggi yang membuat lawatan awal ke rumah jagaan bahawa kami akan mengadakan hampir semua aktiviti di satu dataran yang juga merupakan tempat parkir kereta. Saya selaku ketua Biro Multimedia dan Teknikal mempunyai perasaan campur baur setelah mendapat tahu kami akan meneruskan program ini tanpa menggunakan kemudahan LCD dan pa system seperti mikrofon. Bercampur baur kerana sedikit lega sebab ini bermaksud unit kami tidak perlu menyediakan 'setup' multimedia dan teknikal dan bahan bantu visual seperti slaid mahupun video. Sedikit risau kerana tanpa kemudahan-kemudahan teknologi ini, dikhuatiri sukar untuk mendapat perhatian peserta dek tiadanya mikrofon dan backdrop. Mujur Muazzam selaku Setiausaha program ini turut membantu membawa komputer riba, kamera DSLR dan alat pembesar suara mudah alih (semuanya milik sendirian berhad) untuk kegunaan semasa.


ii. FASA SEMASA

Setelah rombongan kami tiba di Rumah Jagaan Kanak-kanak Yatim/Miskin Rukaiyah kami disambut oleh beberapa orang staf dan kanak-kanak. Seawal slot ice breaking lagi, terdapat beberapa peserta yang kurang memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada para fasi. Namun, kami sudah diberi pesanan daripada staf rumah jagaan yang perkara seperti ini pasti akan berlaku. Para fasi menjalankan kerja dengan baik dan lancar.


Slot yang paling meninggalkan kesan pada saya ialah slot alumni dan slot gimik. Kenapa slot alumni? Alumni jemputan, kak Nurzaty Aqassa Rosli sangat petah berucap, para peserta tampak sungguh berminat. Termasuk dalam slot ini juga, alumni meminta semua peserta untuk duduk di dalam halaqah, lalu meletakkan satu balang kaca berisi sejumlah coklat mini di tengah-tengah bulatan. Tatkala alumni meminta seorang wakil untuk bangun secara sukarela dan seterusnya menyuap coklat kepada orang yang dia paling tidak mahu kehilangan. Belum lagi alumni selesai menyatakan soalan, seorang kanak-kanak lelaki bernama Nadim lantas berdiri dan tunduk mengambil satu coklat dan menuju ke seorang peserta perempuan dengan tersipu malu. Kami pihak fasi fikir peserta perempuan yang menjadi pilihan suapan coklatnya tadi ialah 'crush' barangkali. Reaksi si kakak (ya ternyata dia ialah kakaknya) yang terharu bercampur senyuman mencairkan suasana. Di sini saya dapat simpulkan, bagi peserta yang telah lama menetap di rumah jagaan ini bersama adik beradik, pasti hubungan kekeluargaan mereka teramat rapat kerana bagi mereka, adik beradik sepertalian darah itulah sahaja yang mereka ada. Selain pasangan adik beradik ini, kami juga cukup mengenali hubungan rapat seorang kakak bersama 2 orang adik kembarnya (seorang lelaki seorang perempuan) dek si adik perempuan sering berkepit dengan kakak sulungnya.


Slot seterusnya yang memberi sedikit impak yang lebih kepada saya dari segi mental dan emosi ialah slot gimik apabila salah seorang daripada peserta yang di'prank' dimarahi semasa gimik yang khas untuk peserta yang lahir pada bulan April yang terus bergegas lari balik ke asrama lelaki setelah mendapat tahu yang semua jeritan dan teguran kasar fasi Fikrul dan beberapa fasi yang lain adalah sekadar lakonan. Pada mulanya kami berasa aneh dan menganggap yang dia tidak mahu orang melihatnya menangis namun setelah mengorek beberapa maklumat daripada rakan peserta yang lain ternyata peserta ini dulu juga pernah berada di situasi yang sama tetapi malangnya perkara tersebut bukan sebagai gimik. Mungkin, dirinya masih trauma dan terganggu emosi dek peristiwa itu. Selain itu, walaupun pada asalnya, hanya tiga orang peserta sahaja yang sepatutnya dimarahi, namun majoriti peserta terutamanya yang perempuan ramai yang menangis, ada yang teresak-esak tanpa henti. Ceritanya, salah seorang peserta ini pernah melihat ibu dan ayahnya(atau pakciknya, maaf tak pasti) bergaduh di depan mata sambil menggunakan suara lantang antara satu sama lain tidak ubah seperti fasi yang melakoni watak sebagai exco disiplin di hadapan. Mujur setelah itu, peserta terbabit tenang selepas mengetahui semuanya adalah lakonan semata.


Berdasarkan situasi-situasi ini, saya dapat memberi konklusi, yang kanak-kanak yang berada di dalam institusi kekeluargaan yang sedang goyah ataupun yang telah roboh berada di satu tahap keberadaan mental yang amat berlainan berbanding kanak-kanak dari keluarga yang biasa. Terkilan juga bila mendapat tahu ada seorang peserta lelaki yang mengakui dirinya sebelum penempatannya ke rumah jagaan, bahawa dia banyak terjebak dalam gejala-gejala yang tidak sihat semasa tinggal di bawah jagaan nenek. Setelah memasuki rumah inilah, hidupnya dirasakan berputar 180 darjah, dia mula menjaga solatnya dan juga terbendung daripada kembali ke arah jalan yang lama. Di sini saya ingin memuji seorang rakan fasi saya iaitu Lailah yang sering terlihat duduk 'melepak' dengan peserta yang saya ceritakan tadi. Mungkin, peserta tersebut mengingatkannya serba sedikit dengan adik lelaki kandungnya. Lailah jugalah yang melayani karenah peserta tersebut yang acap kali singgah ke meja yang di atasnya terletak sisa-sisa kek yang ramai segan untuk mendeklarasi empunya bahkan untuk menjeling namun adik peserta itu sering menculit jarinya di icing kek. Lailah mempelawa peserta tersebut untuk makan kek tersebut sejurus itu mereka duduk bersama di lantai berkongsi pelbagai buah bicara. Sesuatu yang mudah untuk kita dapati, pasti sukar untuk mereka rasai dek tiada ibu bapa untuk direngek diminta membeli kek semasa hari jadi. Namun begitu, kerana tempoh kami luangkan di rumah jagaan sungguh pendek, amat tidak wajarlah saya membuat kesimpulan di atas kerapatan hubungan peserta dan staf misalnya siapa staf yang paling mereka sayangi, yang paling dirasakan seperti ahli keluarga sendiri atau sebagainya.


Di akhir refleksi fasa semasa ini, ingin saya tegaskan, memandangkan saya merupakan ahli biro multimedia dan ditugaskan untuk mengambil video dan gambar sekitar program hampir keseluruhan program ini berlangsung (tidak termasuk aktiviti HEWA yang saya, Madeeha, Hidayah, Husna dan Fatimah kendalikan bersama) saya menjadi cenderung untuk memerhati. Saya juga suka mempelajari ilmu perihal psikologi dan personaliti manusia. Oleh itu, refleksi yang saya tulis lebih menjurus kepada analisis dan seterusnya andaian dan bukan bertapak atas dasar logik dan bukti. Saya juga berupaya mengumpul koleksi gambar dan video yang banyak sepanjang program mahupun kualiti gambar berstatus amatur namun masih boleh digunakan terutama sekali untuk kerja pendokumentasian di blog.


iii. FASA SELEPAS

Perasaan saya setelah mengikuti program masyarakat ini ialah menjadikan saya lebih peka dengan keadaan sekeliling. Di antara wajah-wajah yang terpampang senyuman setiap masa, pasti terdapat sebilangan individu yang memakaikan topeng. Begitulah bagaimana saya merasakan kanak-kanak di Pusat Jagaan Rukaiyah majoritinya. Sama ada mereka terlalu awal untuk memahami konsep tinggal di sebuah asrama dan bukannya rumah sendiri atau mereka sudah lali dengan realiti kehidupan. Nilai Empati begini ingin saya terapkan dalam kehidupan seharian. Arus perjalanan dunia yang kian pesat di atas landasan yang pantas, betapa sikitnya manusia yang memilih untuk berhenti sejenak dan memerhati suasana di sekeliling. Empati umpama kita betul-betul merasakan bebanan seseorang itu, mungkin melalui pengamatan reaksi muka, bahasa badan dan sebagainya. Saya juga berupaya mengidentifikasi kepentingan nilai bersangka baik dalam menjalani kehidupan. Setiap orang walaupun boleh digunakan sebagai alasan, memiliki sebab tersendiri mengapa dia menjadi seorang manusia yang sekian. Kerana pengalaman dan memori lampau mencorak pembentukan sahsiah seseorang. Namun begitu, sebagai manusia mukallaf, jika telah sampai usia, kita sendirilah yang bebas memilih sama ada mahu meneruskan arah tuju destinasi hidup di atas jalan yang menyimpang atau yang lurus. Jadilah seseorang yang senang memaafi dan sukar mendendami. Tinggikan nilai empati dan dalam senario tertentu, cubalah untuk melihat dan menganalisis sesebuah situasi dengan kaca mata hati dan sensitiviti.


Akhir kata, semoga semua kanak-kanak yang menetap atau pernah menetap atau akan menetap di Rumah Jagaan Kanak-kanak Yatim/Miskin Rukaiyah sentiasa berada di bawah jagaan Ilahi, semoga setiap tindakan mereka berbekalkan Yang Maha Esa di dalam qalbi. Semoga berpeluang untuk melibatkan diri dalam program kemasyarakatan seperti ini lagi suatu hari nanti. Saya baru teringat yang saya pernah berjanji dengan Nadim untuk merakamnya mengaksikan Break Clap dengan DSLR namun tak kesampaian. Semoga Allah mempertemukan kita suatu hari nanti! Okay ke tak okay??


Saya juga menggalas tugas mengemas kini blog jalinan masyarakat SMPI kumpulan 2 di pautan https://jalinanmsyrktsmpi1.wixsite.com/jalinanmsyrktsmpi18. Selain itu saya juga ditugaskan menyunting dan menyediakan video kompilasi program. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Madeeha dan Husna di atas kerjasama dan komitmen yang diberikan sepanjang menjadi ahli biro multimedia.

Comments


bottom of page